Friday, May 2, 2008

Rama2 & Cinta Lelaki


Wanita kamu adalah perhiasan. Dunia ini menjadi indah kerana adanya kamu yang bernama wanita. Tanpamu dunia pasti diselubungi sugul. Para lelaki yang mendiami dunia ini pasti akan ketandusan kasih. Wahai wanita, kamu ibarat rama-rama yang mengindahkan lagi alam. Kamu telah menyempurnakan keindahan bunga dengan adanya rama-rama.

Namun kamu yang bernama wanita, mengapa sanggup merosakkan diri di tengah-tengah kebuasan kaum lelaki. Memang keinginan berteman adalah fitrah manusia, tetapi jangan sampai merosakkan diri dan maruah yang lama telah dijaga rapi. Tamsilkan dirimu sebagai rama-rama. Keindahan mu mudah terlerai seperti mana mudahnya rama-rama terlerai dari keindahannya apabila ia disentuh. Tatkala rama-rama telah hilang keindahan, tiada siapa yang akan memperdulikannya.

Memang kamu akan berasa bangga apabila digilai ramai kaum lelaki. Tetapi ingatlah wahai wanita, sayapmu yang indah itu pasti akan luntur sedikit demi sedikit, melekat di jari lelaki tatkala dia menyentuhmu, sebagaimana kamu menyentuh rama-rama, warnanya akan berpindah ke jari kamu. Adakah kamu tidak merasa rugi...? Adakah kamu tidak rasa kehilangan keaslian..?

Jika kamu adalah wanita sejati, kamu patut berasa rugi kerana ketahuilah, lelaki akan berasa amat berbangga apabila dapat meletakkan tangan mereka ke atas tubuhmu walaupun sekadar memegang tangan, sedangkan mereka tahu mereka tidak berhak berbuat sedemikian. Bezanya antara lelaki dan wanita adalah lelaki tidak akan kehilangan apa-apa biar pun sejuta wanita yang mereka sentuh tetapi wanita akan rugi serugi-ruginya apabila membenarkan mereka menyentuhmu, kerana kulitmu yang cantik dan halus telah dicemari dengan tangan-tangan yang tidak berhak ke atasmu.

Hanya sekali sentuh, corak rama-rama akan hilang, kalau dua kali sentuh coraknya akan semakin pudar, dan tidak mustahil apabila kerap kali disentuh ianya akan koyak dan jatuhlah rama-rama terkulai tanpa dipedulikan. Begitulah perihal sebagai wanita. Apa untungnya digilai dan diminati, kemudian terkorban benda yang sangat berharga pada diri. Wahai wanita, kasihanilah dirimu, jadikan dirimu benda yang paling berharga. Berharga dari permata, mutiara dan segala-galanya.

Nilai dirimu terletak pada harga diri yang hanya sanggup dibayar dengan harga kejujuran seorang lelaki. Apalah ertinya digilai kalau yang menggilai hanyalah lelaki yang tidak tahu harga diri sendiri. Kamu tidak lagi berharga biar pun tinggi di mata lelaki yang melihat dirimu hanya sebagai 'alat'. Tapi kamu ibarat mutiara di puncak bukit di mata seorang lelaki yang jujur tanpa meminta apa-apa balasan ataupun sedikit belaian. Memang sukar mendapatkan lelaki yang jenis ini tetapi biar terlewat pilh daripada tersalah pilih!!

Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada berdua tetapi pencetus dosa ke neraka. Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri. Biar lambat mendapat teman tetapi tinggi peribadi daripada cepat mendapat teman tetapi lama ditinggalkan pergi. Wahai wanita , hargai dirimu, kamu yang menentukannya. Wallahu'alam
www.tips-fb.com

0 gigitan apple: